Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kerajaan ‘dicop’ gagal jika kembalikan GST

Perlu ada kerangka ekonomi bukan kitar semula pendekatan lama

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 29 Safar 1445H, Jumaat – Cadangan untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi memberi lonjakan kepada pertumbuhan ekonomi negara, hanya menampakkan kerajaan campuran di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kerangka mapan ekonomi.

GST sebanyak enam peratus pernah diperkenalkan pada 2015, tetapi telah dimansuhkan pada 2018 dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Sebelum ini, wujud gesaan beberapa pihak untuk melaksanakan semula sistem GST khususnya bagi menyelesaikan masalah ketirisan cukai.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengakui kerajaan terbuka untuk memperkenalkan semula GST sebagai salah satu strategi untuk memperluas asas hasil bagi mencapai kemampanan fiskal.

Terbaharu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persoalan sama ada kerajaan bakal melaksanakan semula GST bakal diketahui pada Isnin depan.

Bagi BERJASA, sekiranya kerajaan benar-benar melaksanakan kembali GST, ini bermakna pentadbiran Madani hanya mengitar semula pendekatan yang telah dilaksanakan oleh pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presidennya, Ir Ts Muhammad Lukman al-Hakim Mohamad berkata, pelaksanaan GST selepas dimansuhkan bukan strategi yang tepat untuk membangunkan ekonomi negara.

Meskipun GST terbukti berkesan di banyak negara maju dunia dan membantu meningkatkan sara hidup rakyat, kerajaan perlu memikirkan kerangka atau model ekonomi lain yang lebih bagus.

“Lagipun hari ini Ringgit Malaysia (RM) semakin lemah pertumbuhan keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku kedua juga menguncup dan pelaburan luar berkurang berikutan ketidakstabilan politik negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau yakin dalam keadaan sekarang, untuk melaksanakan semula GST ia tidak mampu mengubah apa-apa.

“Kerajaan sewajarnya membuat kerangka baharu yang berdaya saing dalam menjayakan ekonomi negara.

“Kita memerlukan pemimpin yang mahir mentadbir untuk membina keyakinan rakyat serta pelabur luar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button