KKM batal dua produk kosmetik ada racun berjadual
Penjual, pengedar diarah hentikan penjualan serta-merta

BANGI, 29 Safar 1445H, Jumaat – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk itu ialah Beaute Treatment Cream dan Beaute Nite Cream, yang masing-masing mengandungi hydroquinone, tretinoin, merkuri dan betamethasone 17-valerate.
Beliau berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang.
“Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Dr Muhammad Radzi, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah serta hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Katanya, penggunaan bahan berkenaan akan menyebabkan kesan sampingan kepada kulit seperti iritasi, menghalang proses pigmentasi, kemerahan dan meningkatkan risiko kanser kulit.
Justeru, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan serta pengedaran serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Dr Muhammad Radzi turut menasihatkan pengguna produk berkenaan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Katanya, orang awam digalakkkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.