Berita UtamaDunia

Laluan Afghanistan-Pakistan dibuka semula selepas 9 hari ditutup

Ratusan trak bawa barangan terkandas di sempadan

PESHAWAR, 29 Safar 1445H, Jumaat – Laluan utama jalan darat Afghanistan-Pakistan dibuka semula hari ini selepas sembilan hari ditutup berikutan pertempuran antara kedua-dua pasukan keselamatan.

Penutupan laluan menyebabkan ratusan trak yang membawa barangan terkandas minggu lalu di sempadan Torkham, kawasan pergunungan di barat wilayah Khyber Pass.

Timbalan Pesuruhjaya daerah Khyber, Abdul Nasir Khan berkata, laluan berkenaan telah dibuka awal pagi tadi selepas diplomat tertinggi Pakistan di Kabul bertemu dengan Menteri Luar Taliban, Amir Khan Muttaqi.

Kedua-dua pihak duduk semeja bagi mencari kata sepakat sebelum membuat keputusan membuka laluan.

Laluan berkenaan merupakan jalan utama bagi penduduk dan merupakan laluan bandar Peshawar di barat laut Pakistan ke Jalalabad, bandar utama di Nangarhar, dan ke Kabul.

Sementara itu, Pengarah Dewan Perniagaan dan Industri Bersama Pakistan-Afghanistan, Ziaul Haq Sarhadi berkata, penutupan laluan utama telah menyebabkan kerugian besar kepada peniaga dan rakyat di dua negara jiran.

Terdahulu, Taliban mengkritik penutupan laluan itu dan mendakwa pasukan keselamatan Pakistan telah melepaskan tembakan ke arah pengawal sempadan ketika pihaknya membaiki pos di kawasan berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button