Berita UtamaDunia

Libya siasat punca malapetaka banjir ragut ribuan nyawa

Siasatan lihat sama ada berlaku sebab kesilapan manusia

DERNA, 29 Safar 1445H, Jumaat – Pihak berkuasa Libya menuntut siasatan sama ada malapetaka – banjir besar di negara itu yang mengorbankan ribuan nyawa berpunca daripada kesilapan manusia.

Pegawai Libya pada Khamis berusaha menggali lebih dalam sebab-sebab yang membawa kepada kemusnahan besar, cuba melihat sama ada bencana itu boleh dielakkan.

Presiden Majlis Presiden Libya, Mohamed al-Menfi berkata, majlis itu telah meminta peguam negara untuk menyiasat bencana ini.

Air deras yang disebabkan oleh ribut Mediterranean kuat Daniel memecah empangan pada malam Ahad di bandar pelabuhan Derna, menjulang ombak setinggi 20 kaki, menghentam bangunan bertingkat.

Ketika ini, sehingga 20,000 orang dikhuatiri mati. Angka itu telah disahkan oleh Datuk Bandar Derna, Abdulmenam al-Ghaithi yang berkata, kematian di bandar itu boleh mencecah 18,000-20,000, berdasarkan tahap kerosakan.

Al-Ghaithi memberitahu Reuters beliau bimbang bandar itu dijangkiti wabak, ‘disebabkan sejumlah besar mayat di bawah runtuhan dan dalam air.’

Menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), kehilangan besar nyawa boleh dielakkan jika Libya mempunyai agensi cuaca yang berfungsi.

Agensi itu berkata, pihaknya telah mengeluarkan amaran 72 jam sebelum empangan runtuh, termasuk menghubungi pihak berkuasa Libya dan membuat kenyataan kepada media.

Sehari sebelum ribut melanda Libya, Datuk  Bandar telah berucap pada sidang akhbar dengan mengatakan bahawa beberapa kawasan di sekitar empangan itu harus dipindahkan. 

Sebaliknya, jawatankuasa kecemasan yang dibentuk oleh Kementerian Dalam Negeri kerajaan timur mengarahkan perintah berkurung.

Seorang jurucakap di pejabat datuk bandar mendakwa, empangan bandar itu tidak diselenggara sejak 2008 kerana krisis politik Libya.

Derna dikawal oleh Tentera Nasional Libya, dikendalikan oleh Field Marshal Khalifa Hifter dan berpusat di bandar timur Tobruk. Selebihnya negara ini dikendalikan oleh Kerajaan4 Perpaduan Nasional yang berpusat di ibu kota, Tripoli, di barat.

Negara Afrika Utara dengan penduduk kira-kira 7 juta orang itu berpecah tanpa kerajaan yang memegang kuasa seluruh negara sejak pemberontakan yang disokong NATO menggulingkan kerajaan pemimpin negara itu Muammar Gaddafi pada 2011. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button