Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Maklumat tak lengkap, polis tolak permohonan Himpunan Selamatkan Malaysia

Lokasi dan nama penganjur tidak dinyatakan secara terperinci

KUALA LUMPUR, 29 Safar 1445H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak permohonan penganjur perhimpunan yang dirancang esok, kerana maklumat yang dikemukakan tidak lengkap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, antara butiran yang tidak dinyatakan secara terperinci oleh penganjur, ialah lokasi dan nama penganjur perhimpunan ketika membuat permohonan.

“Kami tidak boleh kata terima notis pemakluman sebab maklumat diberikan tidak lengkap, maka polis tidak boleh terima.

“Sebelum ini, dikatakan perhimpunan akan dibuat di sekitar sebuah pusat beli-belah di ibu negara, namun maklumat terkini diterima polis menyatakan ia akan dibuat di salah sebuah masjid di Kampung Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, malam tadi.

“Ia tidak membantu kami, sebab tiada ketetapan daripada penganjur. Ini akan sukarkan ramai pihak termasuk pengguna jalan raya, saya amat berharap penganjur bertanggungjawab bantu kami untuk selaraskan penugasan pada Sabtu ini,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan PDRM, sekali gus akan membuat persediaan sewajarnya jika perhimpunan itu dibuat.

“Polis tidak mahu bertindak berlebihan dan kami akan membuat persediaan. Saya percaya mereka individu berpengalaman dalam menganjurkan perhimpunan seperti ini dan faham mengenai implikasi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sudah menerima enam laporan berhubung penganjuran perhimpunan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button