PAS cari jalan ulang kerajaan tebuk atap, dakwa Puad
'PN mahu konflik terus berlaku, tunggu PRU 4 tahun lagi terlalu lama'

BANGI, 29 Safar 1445H, Jumaat – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara sinis menggesa Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dirancang sempena Hari Malaysia, esok (16 September) dibenarkan berlangsung.
Tunjuk perasaan itu antara lain memprotes isu melepas tanpa dibebas (DNAA) Presiden UMNO Zahid Hamidi serta isu-isu semasa.
“Besok Pemuda Perikatan Nasional (PN) berdegil untuk terus berdemonstrasi isu DNAA Zahid.
“Elok Polis Diraja Malaysia (PDRM) benarkan sahaja. Bagi mereka berhimpun di Padang Merbok atau Stadium Titiwangsa. Biar PN buat di tempat yang tidak ganggu lalu lintas dan orang awam.
“Tetapi PN mahu demo yang panas dan kecoh. Sebab itu mesti buat di Kampung Baru. PN tidak mahu demonstrasi syok sendiri,” katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.
Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dijadualkan Sabtu ini, akan bermula dari Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penganjur didapati tidak mematuhi sepenuhnya peruntukan yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Katanya, pihak penganjur gagal memberikan butiran lengkap ketika menyerahkan notis pemberitahuan mengenai penganjuran himpunan tersebut.
Namun, PDRM tidak mahu bertindak keterlaluan dan akan menyediakan keanggotaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Sementara itu, Puad mendakwa, PN sebenarnya mahu konflik terus berlaku.
“Mereka tidak mahu kerajaan stabil agar kerajaan tebuk atap akan berulang.
“Menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) empat tahun lagi terlalu lama. Pemimpin PAS seronok duduk dalam kerajaan pusat dan jadi menteri. Sebab itu demo ini inisiatif PAS,” katanya.