Berita Utama

Amaran hujan lebat, ribut petir di kebanyakan negeri petang ini

MetMalaysia jangka cuaca buruk berterusan sehingga jam 7 malam

BANGI, 30 Safar 1445H, Sabtu – Hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan negeri termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga jam 7 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan, cuaca buruk itu turut diramal berlaku di Kedah membabitkan kawasan Langkawi, Kuala Muda, Sik dan Baling.

Di Pahang membabitkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Bera dan Rompin, selain dua kawasan di Selangor iaitu Hulu Langat serta Sepang.

“Turut berdepan cuaca sama di Negeri Sembilan iaitu Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin serta Johor di Segamat, Batu Pahat dan Kluang.

“Di Sarawak membabitkan Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu), Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu (Tatau),” katanya.

Amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang turut dikeluarkan bagi Sabah membabitkan kawasan pedalaman Tambunan, Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button