Berita Utama

Gerakan mahu bawa usul penyertaan Muda ke mesyuarat PN

Respon Syed Saddiq mungkin positif selepas dipelawa secara tidak formal

BANGI, 30 Safar 1445H, Sabtu – Parti Gerakan berhasrat membawa usul kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) berhubung cadangan untuk membawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyertai gabungan itu.

Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, sekiranya Muda menyertai PN, ia akan memperkukuhkan lagi perjuangan gabungan itu untuk membasmi rasuah negara, terutamanya dalam dunia politik.

Ini berikutan pendirian serta ideologi Muda sejajar dengan PN iaitu sebuah gabungan berintegriti serta antirasuah.

“Pendirian Gerakan ialah kita mengalu-alukan Muda menyertai PN tetapi PN ada prosedurnya.

“Apa-apa juga perkara mesti melalui mesyuarat Majlis Tertinggi PN, Gerakan akan bawa isu ini ke mesyuarat PN yang akan datang,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Dalam pada itu, Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN menjelaskan, setakat ini belum ada perbincangan rasmi diadakan bersama Muda berhubung cadangan itu.

Bagaimanapun, beliau pernah menyatakan hasrat itu secara tidak formal ketika bertemu dengan Syed Saddiq di Parlimen baru-baru ini.

“Syed Saddiq hanya tersenyum dan kita lihat responnya mungkin positif, tetapi apa pun PN ada prosedur,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq secara rasmi mengumumkan keluar daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Walaupun mengakui keputusan itu sukar, namun menurut Syed Saddiq, Muda perlu membuat keputusan berdasarkan prinsip.

Ia berikutan tindakan kerajaan menggugurkan 47 pertuduhan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyukarkan Muda untuk terus kekal berada dalam kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button