Hari Malaysia: ‘Perlu toleh ke belakang jika mahu maju ke depan’
Tujuan tubuh Malaysia untuk bebas pengaruh komunis di Tanah Melayu

BANGI, 30 Safar 1445H, Sabtu – Gabungan antara wilayah yang membentuk Malaysia akan terus utuh selagi pemimpin serta pemikir yakin bahawa bersatu itu teguh dan bercerai akan roboh, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam tempoh 60 tahun bersama sebagai sebuah gabungan, bekas Perdana Menteri tidak menafikan ada ketikanya timbul rasa kurang senang di antara satu sama lain.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan ianya sebagai suatu perkara biasa di dalam mana-mana penyatuan wilayah-wilayah berbeza,.
“Hari ini genap 60 tahun kita bersama di dalam sebuah gabungan yang kita gelar sebagai Malaysia.
“Enam dekad bukan satu tempoh masa yang singkat dan dalam tempoh tersebut, banyak yang kita lalui bersama. Ada kenangan manis dan tak kurang juga yang pahit.
“Apa pun, amat perlu kita toleh ke belakang apabila kita mahu maju ke hadapan,” kata Dr Mahathir menerusi video berdurasi lebih dua minit yang dimuatnaik di Facebooknya, hari ini.
Beliau dalam video ucapannya sempena Hari Malaysia itu turut mengingatkan rakyat terhadap asal penubuhan Malaysia untuk memastikan pengaruh komunis tidak bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
“Walaupun Singapura bukan sebahagian kita lagi, tetapi ke semua kita telah berjaya menyekat komunis bertapak.
“Kita juga setuju untuk bersama sebagai usaha ke arah kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Ini juga telah kita capai,” katanya.
Beliau berkata, hasil yang diharap daripada gabungan ini adalah dapat mengembangkan ekonomi dan membangun bersama.
Dr Mahathir turut mengharapkan rakyat menyambut Hari Malaysia dalam semangat sedemikian, yang menjadi asas kepada gabungan ini.
“Kesatuan kita di dalam kepelbagaian dan kepelbagaian kita di dalam kesatuan. Ini kita sambut tanpa ketepikan asal-usul dan menafikan sejarah pembentukan negara bangsa ini.
“Selamat Hari Malaysia. Semoga Allah memberi keberkatan kepada kita semua,” katanya.