Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kerajaan Pahang jamin laksana projek dimohon Johari

RM5.5 juta diperuntukkan untuk kerja bina baharu, naik taraf di Pelangai

BENTONG, 30 Safar 1445H, Sabtu – Kerajaan negeri Pahang memberi jaminan akan melaksanakan pelbagai projek yang telah dimohon oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, bagi kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau telah berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengemukakan projek yang dimohon dan telah mendapat kelulusan.

Justeru, katanya sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 32 projek merangkumi pelbagai kerja termasuk bina baharu dan naik taraf di kawasan Pelangai.

“Projek-projek berkenaan antara yang dimohon oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan baru-baru ini saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri supaya ia diteruskan.

“Ini juga bermakna kedudukan ekonomi kita bertambah baik, kalau tidak mana mungkin ia diluluskan dengan serta-merta dan projek ini semua berkaitan dengan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Pahang di Felda Chemomoi di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, antara projek yang akan dilaksanakan ialah kerja-kerja naik taraf dan baik pulih Surau Kg Sungai Gapoi dan Surau Asyakirin serta bina baharu jalan di Kampung Sungai Poh, selain naik taraf jalan di Kampung Chemomoi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek berkenaan bukannya ‘gula-gula’ sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kerana sebelum inipun pelbagai bantuan telah diberikan kepada rakyat walaupun bukan musim pilihan raya.

“Ini semua bukan sebab pilihan raya, di tempat lain pun ada juga kelulusan untuk kawasan DUN di Pahang…kita pada (sejak) dahulu lagi kalau tidak ada pilihan raya tetap bagi bantuan kepada semua golongan masyarakat.

“Di Pelangai, kerajaan negeri sendiri telah peruntukkan kira-kira RM2 juta manakala di kawasan DUN lain lebih sejuta,” katanya.

PRK Pelangai diadakan ekoran penyandangnya Johari, 53, terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya itu berlangsung pada 7 Oktober ini dengan hari penamaan calon pada 23 September manakala hari pengundian awal 3 Oktober.

Terdahulu, sambutan Hari Malaysia Peringkat Pahang diadakan meriah dengan pelbagai acara seperti persembahan tarian oleh murid sekolah dan nyanyian artis tempatan Santesh, selain pameran daripada agensi kerajaan.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button