Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

MUDA beri gambaran tak terbabit PRK Pelangai

Tak bantu mana-mana parti meski di blok pembangkang

BANGI, 1 Rabiulawal 1445H, Ahad – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberi gambaran tidak terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober depan.

Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abdul Hadir berkata, pihaknya belum membuat perbincangan untuk terlibat dalam PRK walaupun telah menjadi blok ketiga di Dewan Rakyat.

“Sebagai sebuah parti politik apabila ada pilihan raya kita akan berbincang terlebih dahulu untuk menentukan kedudukan sama ada mahu bertanding atau tidak.

“Namun buat masa ini, Muda mungkin tidak akan terlibat, walaupun itu bukan keputusan muktamad lagi tetapi kita terbuka untuk berbincang,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Amir bagaimanapun berkata, perbincangan berkenaan akan dilakukan Jawatankuasa Eksekutif Pusat dalam masa terdekat bagi memutuskan sama ada bertanding atau tidak.

Pada masa sama katanya, sempena PRK Pelangai pihaknya tidak akan membantu mana-mana parti walaupun kini sudah berada di blok pembangkang.

“Jika keputusannya adalah tidak bertanding, Muda tak akan turun membantu mana-mana pihak.

“Sebaliknya akan kekal sebagai ‘third force’ yang tidak bergabung dengan mana-mana gabungan termasuk PN meskipun kini bersama di kem pembangkang,” katanya.

Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon manakala 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button