Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Henti sebar video ajaran sesat Si Hulk

Bimbang golongan kurang ilmu akidah terpengaruh ikut doktrin

BANGI, 2 Rabiulawal 1445H, Isnin – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menggesa umat Islam menghentikan penyebaran kandungan video berkaitan ajaran sesat Si Hulk di semua platform media sosial.

Beliau bimbang sekiranya video demikian terus disebarkan akan mempengaruhi umat Islam yang mungkin kurang ilmu pengetahuan akidah, sekali gus mendorong mereka mengikut doktrin itu.

Justeru, beliau berharap masyarakat tidak secara langsung membantu usaha pengikut ajaran Si Hulk menyebarkan fahaman mereka dengan berkongsi video berkaitan.

“Jadi saya seru sangat supaya umat Islam di Malaysia menghentikan penyebaran video-video berkenaan ajaran Si Hulk dengan apa niat sekali pun.

“Ini secara tidak langsung akan membantu mengentikan ideologi sesat tersebut,” katanya menerusi satu video yang dimuatnaik di Facebooknya, hari ini.

Beliau memaklumkan, gesaan itu dibuat susulan menerima maklumat dan pertanyaan ramai mengenai video-video ajaran sesat Si Hulk yang terus dikongsikan di media sosial.

“Pengasas dan pengikut ajaran Si Hulk kini dilaporkan berada di New Zealand setelah ajaran berkenaan difatwakan sesat oleh negeri Johor.

“Dalam konteks Jakim, kita sedang memantau ajaran tersebut dengan kerjasama badan Islam seperti FIANZ di New Zealand dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita telah memaklumkan kepada badan tersebut untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan ajaran sesat Si Hulk ini supaya masyarakat Islam di New Zealand tidak terpengaruh dengan ajaran sesat sebegitu,” katanya.

Mohd Na’im turut mengingatkan rakyat bahawa sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Usaha ini adalah tanggungjawab bersama dalam menyekat agenda manipulasi masyarakat Islam kita. Kita perlu sama-sama menjaga agama yang kita sayangi.

“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak dan seluruh rakyat yang cintakan agama Islam ini kita akan sama-sama dapat memastikan ajaran-ajaran sesat ini dapat dibendung,” katanya.

Sebelum ini, tular dua video membabitkan lima sekeluarga termasuk ibu dan bapa membuat pengakuan ajaran sesat di Facebook, selain dua individu iaitu lelaki dan wanita yang membuat pengakuan bahawa Allah itu Nabi Muhammad ﷺ.

Susulan perkembangan itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, individu yang dikesan mengaku sebagai pengikut ajaran sesat Si Hulk dalam video terbabit dipercayai berada di New Zealand.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button