Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak solusi terbaik tangani isu dera, pengabaian

Berupaya beri perkhidmatan berkualiti berlandaskan lime teras utama

BANGI, 2 Rabiulawal 1445H, Isnin – Penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak adalah solusi terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing, kata Datuk Seri Nancy Shukri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu yakin jabatan berkenaan berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat, khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat.

Justeru, beliau berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan yang meluluskan penubuhan jabatan berkenaan bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berkuat kuasa 1 September lalu.

“Dengan tertubuhnya Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, usaha menggerakkan komuniti yang telah ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta pembantu pelindung akan ditingkatkan di semua 105 daerah.

“Ini selaras dengan tonggak Malaysia Madani yang menyasarkan kesejahteraan masyarakat termasuk menjaga keselamatan dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak adalah menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Nancy berkata, sebanyak 169 perjawatan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred bagi tahun 2023 telah diluluskan untuk memperkukuh struktur di peringkat ibu pejabat serta seterusnya di daerah dan jajahan.

“Ini bagi memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

“Kementerian juga menyeru masyarakat untuk terus cakna dalam melindungi kanak-kanak dan laporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-2615999 yang beroperasi selama 24 jam,” katanya.

Untuk rekod, penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak telah diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button