Puad dakwa Tun M pengacau kestabilan, tak boleh jadi penasihat
Kit Siang jangan kacau, biar DAP jalan sendiri bawah Anthony Loke

BANGI, 2 Rabiulawal 1445H, Isnin – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh menjadi ‘penasihat tidak rasmi’ kepada empat negeri Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana bekas Perdana Menteri itu mempunya agenda sendiri, katanya.
“Lim Kit Siang mempertikaikan PAS kerana melantik Tun M sebagai penasihat kepada empat negeri di bawah pentadbiran parti tersebut.
“Betullah. Tun M tidak boleh jadi penasihat. Dia pengacau kepada kestabilan. Dia ada agenda sendiri.
“Tetapi Lim Kit Siang, Tun M dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pernah bergabung untuk ‘Selamatkan Malaysia’. Mereka tidak lagi relevan. Lim Kit Siang pun jangan kacau. Biar DAP jalan sendiri bawah Anthony Loke,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Beliau berkata mengulas mengenai kenyataan Kit Siang mengenai tindakan Dr Mahathir yang ibarat menjilat ludah sendiri kerana menjadi ‘penasihat tidak rasmi’ kepada empat negeri PN.
Terdahulu, veteran DAP itu berkata, tindakan bekas Perdana Menteri itu membuktikan kata-kata beliau terhadap PAS sebelum ini adalah salah seperti yang ditulis dalam buku ‘Capturing Hope — The Struggle Continues for a New Malaysia.
Ini antaranya Dr Mahathir menulis, pada 1981 Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengisytiharkan bahawa UMNO adalah parti kafir dan ia telah menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan menteri besar Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis akan mengadakan perbincangan untuk pembentukan kumpulan negeri yang ditadbir oleh PN dengan Dr Mahathir sebagai ‘penasihatnya tidak rasminya.’
Katanya, empat menteri besar berkenaan secara prinsipnya bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dan beliau sendiri sudah mengarahkan ahli EXCO berkaitan untuk berbincang dengan rakan mereka di tiga negeri lain di bawah PN.