Palestin mesti merdeka demi keamanan Timur Tengah
Keganasan terhadap rakyat Palestin berterusan di wilayah yang diduduki

NEW YORK, 3 Rabiulawal 1445H, Selasa – Selagi mana pertikaian dan konflik Palestin-Israel yang berlarutan sehingga hari ini tidak selesai, selagi itu pembentukan negara Palestin merdeka sukar direalisasikan.
Atas sebab itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan menegaskan penyelesaian dua negara mesti disegerakan.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat menteri mengenai usaha untuk menghidupkan semula proses damai di Timur Tengah di New York.
“Kami kini melihat peningkatan dan keganasan yang berterusan di wilayah yang diduduki,”katanya.
Putera Faisal memaklumkan, negara-negara pada mesyuarat itu menyatakan sokongan mereka terhadap penyelesaian tersebut dan keperluan untuk menjadikannya kenyataan.
Awal bulan lalu, delegasi Palestin ke Arab Saudi bagi membincangkan peranan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dalam kemungkinan perjanjian normalisasi antara Riyadh dan Israel.
Sumber Palestin memberitahu Middle East Eye bahawa pegawai PA akan membincangkan isu yang dibangkitkan oleh kerajaan tanpa mengemukakan tuntutan khusus.
Menurut sumber, beberapa elemen dalam PA sedang mempertimbangkan semula pendekatan mereka sebelum ini, yang mana mereka menolak perjanjian normalisasi yang sama antara Israel dan beberapa negara Arab yang ditengahkan di bawah pentadbiran Donald Trump.
“Mereka fikir normalisasi berlaku dengan atau tanpa kami, jadi mereka juga mungkin mendapat manfaat daripadanya, sekurang-kurangnya dari segi politik dan kewangan,” kata sumber itu.
Selama berbulan-bulan, AS telah mengetuai usaha untuk mencapai perjanjian antara Arab Saudi dan Israel yang akan menyaksikan mereka menormalkan hubungan – sama seperti perjanjian yang dicapai antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Maghribi.
Arab Saudi menangguhkan tawaran untuk menormalkan hubungan dengan Israel sejak 2002, berpegang kepada Pelan Damai Arab, yang menggesa kepada sebuah negara Palestin yang merdeka di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Sebagai pertukaran untuk menormalkan hubungan, Arab Saudi juga mahukan jaminan keselamatan daripada AS, bantuan dalam membangunkan program nuklear awam, dan pengurangan sekatan ke atas penjualan senjata AS.
Laporan media Arab pada hujung minggu menyatakan bahawa Riyadh ‘menghentikan perbincangan’ dengan Israel kerana kerajaan sayap kanan di Israel yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Jabatan Negara AS menafikan segera laporan itu pada Ahad dengan berkata, rundingan sedang berjalan dan pihaknya menantikan perbualan lanjut dengan kedua-dua pihak. – Agensi