Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pinda Perlembagaan elak politik berterusan selepas PRK

Beri peranan kepada parti politik tentukan pengganti penyandang

Oleh Siti Hafidan Abd Ghaffar

BANGI, 3 Rabiulawal 1445H, Selasa – Cadangan supaya kerajaan mengkaji semula keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka ekoran kematian penyandang kerusi wajar dipertimbangkan.

Ini kerana, pelaksanaan PRK bukan sahaja membabitkan kos kepada kerajaan, malah berlakunya politik berterusan di dalam pentadbiran sekali gus menghilangkan fokus kerajaan untuk menumpu usaha pembangunan dan membela nasib rakyat.

Keadaan itu mencetuskan pertembungan berpanjangan antara parti-parti politik sedangkan selepas pilihan raya sewajarnya mereka memberi fokus dan kerjasama sebagai kerajaan dan pembangkang.

Justeru, mekanisme yang boleh dilakukan adalah dengan memberi peranan kepada parti politik di kerusi berkenaan untuk menentukan pengganti, kata Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Menurutnya, peluang itu agak baik kerana pindaan Perlembagaan pada 2022 yang berkaitan dengan peraturan anti lompat parti telah memasukkan definisi parti politik dalam Perkara 160.

“Jadi agak mudah untuk kita meminda Perlembagaan dengan menyatakan kuasa untuk menentukan pengganti kepada wakil rakyat yang meninggal dunia itu diserahkan kepada parti politik.

“Itu boleh dilakukan dan tidak ada satu masalah yang besar cumanya mungkin ada pihak yang mempersoalkan dari sudut amalan demokrasi,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar supaya Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan dibuat sedikit pindaan dengan mewujudkan satu peruntukan khas berkaitan ketetapan PRK.

Menyambut baik cadangan itu, Muhammad Fathi berkata, dalam hal ini apabila rakyat mengundi bermakna mereka telah memberi mandat bukan sahaja kepada calon malah parti politik.

“Maksudnya di dalam kertas undi itu ada logo parti dan kepercayaan yang diberikan bukan sahaja kepada calon tetapi juga parti.

“Jadi sewajarnya parti diberikan hak untuk menentukan pengganti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button