Berita Utama

PN tubuh 10 portfolio wakil rakyat pembangkang Selangor

Azmin ketuai portfolio Kewangan, Ekonomi, Tanah dan Sumber Alam

BANGI, 3 Rabiulawal 1445H, Selasa – Perikatan Nasional (PN) menubuhkan 10 Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Negeri Selangor – yang berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu bagi memastikan perbahasan wakil rakyat pembangkang memberi fokus kepada isu untuk membantu rakyat.

“Peranan 10 Portfolio Ahli Dewan Negeri Selangor ini adalah untuk mengadakan semak dan imbang kepada peranan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

“Ia bagi memastikan perbincangan dan perbahasan kami dalam dewan itu lebih fokus kepada isu-isu yang dapat membantu rakyat di Selangor khususnya 10 portfolio terpenting dan biasa kita bincangkan.

“Saya percaya dengan kewujudan 10 portfolio ini yang mempunyai 10 ketua dan akan dibantu oleh tiga jawatankuasa lain yang akan dianggotai dalam kalangan ahli-ahli Dewan Negeri yang tidak mengetuai mana-mana portfolio,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Azmin memaklumkan, beliau sendiri akan mengetuai portfolio Kewangan, Ekonomi, Tanah dan Sumber Alam.

Sementara Datuk Dr Halim Tamuri akan menerajui Pendidikan dan Sumber Manusia; Datuk Seri Jamil Salleh (Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Infrastruktur); Dr Afif Bahardin (Kesihatan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim); Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Industri Digital).

Untuk lima lagi portfolio, Muhammad Hilman Idham (Generasi Muda dan Sukan); Nushi Mahfodz (Agama Islam dan Pembangunan Desa); Nurul Syazwani Noh (Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan); Sallehein Mukhyi (Pertanian dan Industri Agromakanan) serta Datuk Noorazley Yahya (Pelancongan dan Kebudayaan Warisan Melayu).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button