Rejim Zionis lakukan pemindahan paksa penduduk Palestin
Tentera Israel galak peneroka teruskan keganasan terhadap rakyat Palestin

TEBING BARAT, 3 Rabiulawal 1445H, Selasa – Pertubuhan hak asasi manusia Israel B’Tselem mengesahkan rejim Zionis sedang melakukan pemindahan paksa rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Isnin, B’Tselem berkata, peraturan antarabangsa melarang pemindahan paksa penduduk di wilayah yang diduduki.
“Ini adalah dasar haram yang membabitkan Israel dalam jenayah perang pemindahan paksa,” katanya.
Organisasi itu berkata, penduduk Palestin menghadapi serangan berterusan oleh peneroka di Tebing Barat yang diduduki.
“Keganasan yang berterusan mendapat sokongan rejim Tel Aviv,” kata kumpulan itu.
Mengusir gembala dari ladang mereka, menyerang penduduk tempatan secara fizikal, menceroboh rumah mereka di tengah malam, membakar, menakut-nakutkan kawanan, merosakkan tanaman, mencuri harta benda, menyekat jalan raya dan memusnahkan tangki air – inilah yang dilakukan peneroka terhadap penduduk Palestin setiap hari.
“Tiada sesiapa yang melindungi mereka dan tiada pilihan lain, sekurang-kurangnya enam komuniti telah meninggalkan rumah mereka dalam tempoh dua tahun lalu.
“Berpuluh-puluh lagi berada dalam bahaya dan dipindahkan pula secara paksa,” kata B’Tselem. – Agensi