Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaIstimewa

Sertai BRICS? Malaysia perlu kaji secara strategik

Perlu strategi, kajian mendalam supaya perjanjian untungkan negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Rabiulawal 1445H, Selasa – Malaysia perlu mempertimbangkan pelbagai perkara seandainya mahu menyertai BRICS – kumpulan ekonomi sedang pesat membangun dianggotai Brazil, Russia, India, China, dan Afrika Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, persoalan utama yang perlu dilihat adalah objektif akhir orde ekonomi BRICS, sama ada ia sejajar dengan hasrat pembangunan Malaysia.

Tidak menafikan ia berkemungkinan baik dari sudut kerjasama dalam perdagangan global, namun banyak aspek lain harus ditimbang tara terutamanya kedaulatan negara.

“Apa saja ruang kerjasama dan perdagangan perlukan kajian mendalam sebelum dipersetujui. Sistem ekonomi di dunia menggunakan alasan ruang perdagangan untuk menjerat negara yang kurang keupayaan sehingga terperangkap dengan jerat tertentu.

“Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) walaupun dikatakan membuka ruang untuk memudahkan perdagangan bebas, tetapi ia berisiko menyebabkan kedaulatan negara tergadai. 

“Jadi, Malaysia perlu betul-betul memahami permainan BRICS – ‘power game’ dia dan ‘end game’ dia. Adakah penglibatan negara menggugat atau mengancam kedaulatan kita. Menurut kayu ukur kita?

“Sekiranya ada yang berisiko tergadai, kita tak mudah untuk ikut arus. Kita pun wajar meletakkan syarat tertentu yang menguntungkan negara kita,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net.

Dalam pada itu, Syed Israa’ berkata, Malaysia sebagai sebuah negara juga boleh mengambil pendirian untuk tidak memihak dalam isu penyertaan BRICS ini.

Ini kerana, Malaysia sudah menganggotai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Sekiranya BRICS memang sekadar wujud komuniti perdagangan, kalau kita mahu, kita boleh sertai secara sedar dan berhati-hati atau boleh keluar sekiranya perlu.

“Kerana kita tidak mahu terjerat dengan objektif akhir mereka yang belum kita tahu buat masa sekarang.

“Kita mahu 100 perkara boleh dicapai. Bukan 1 perkara sahaja. Kerana pada akhirnya jika penyertaan dibuat tanpa strategi, kesannya pemimpin negara akan ikut desakan rejim,” katanya.

Akronim BRIC, yang pada mulanya tidak termasuk Afrika Selatan, telah dicipta pada tahun 2001 oleh Ketua Ekonomi, Goldman Sachs Jim O’Neill ketika itu dalam kertas penyelidikan yang menggariskan potensi pertumbuhan Brazil, Russia, India dan China.

Blok itu diasaskan sebagai gabungan tidak rasmi pada 2009 untuk menyediakan platform kepada ahlinya untuk mencabar orde dunia yang dikuasai oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Baratnya.

Afrika Selatan, ahli terkecil dari segi pengaruh ekonomi dan populasi, merupakan peserta pertama perluasan blok itu pada 2010 apabila kumpulan itu dikenali sebagai BRICS.

Selain daripada geopolitik, tumpuan kumpulan itu termasuk kerjasama ekonomi dan meningkatkan perdagangan dan pembangunan pelbagai hala.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button