BN, PN umum calon PRK Pelangai malam ini
Majlis pelancaran jentera PN diadakan serentak pengumuman calon

BANGI, 4 Rabiulawal 1445H, Rabu – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon masing-masing untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, hari ini.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN akan mengumumkan calonnya di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, jam 8.30 malam ini.
Beliau berkata, majlis pelancaran jentera BN untuk PRK Dun Pelangai juga akan diadakan di Dataran Simpang Pelangai jam 2.30 petang nanti.
“Semoga majlis ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur terutamanya dalam memastikan kerusi DUN Pelangai ini terus kekal menjadi milik Barisan Nasional.
“Saya berharap penduduk di DUN Pelangai terus dpat memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional seperti mana sebelum ini agar kami dapat teruskan perkhidmatan demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain BN, PN juga mengumumkan pelancaran jentera pilihan raya dan pengumuman calon yang diadakan serentak di Simpang Pelangai pada jam 9 malam ini.
“Tiba masanya untuk rakyat Pelangai memilih wakil rakyat baru. Tiba masanya bekerja untuk kemenangan.
“Jom hadir beramai-ramai ke Simpang Pelangai memeriahkan majlis pelancaran jentera dan pengumuman calon,” menurut PAS dalam kenyataan di Facebook rasminya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.
PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Kuala Terengganu, Pulai dan Simpang Jeram.
Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam minggu lalu, yang turut mengorbankan sembilan individu lain.
Allahyarham yang juga EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRU15 tahun lalu.
Pada pilihan raya itu, Allahyarham menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (Pakatan Harapan) dan Isa Ahmad (Pejuang) dengan majoriti 4,048 undi dalam saingan empat penjuru.