Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

ISMA terima kunjungan Hamas, bincang perjuangan rakyat Palestin

Tanggungjawab beri kesedaran konflik, penindasan umat Islam seantero dunia sentiasa dalam usaha ISMA

BANGI, 4 Rabiulawal 1445H, Rabu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menerima kunjungan hormat daripada Pemimpin Kanan Biro Politik Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Usamah Hamdan dan delegasi, di ibu pejabatnya semalam.

Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, pertemuan yang berlangsung selama satu jam itu membincangkan pelbagai perkara yang menyentuh aspek kelangsungan serta perjuangan Palestin dan umat Islam.

Dalam pertemuan itu, Usamah juga berkongsi beberapa perkembangan terkini isu rakyat Palestin di peringkat antarabangsa dan juga hal-hal yang membabitkan komuniti Palestin di Malaysia.

“Saya nyatakan kepada beliau isu rakyat Palestin sangat dekat di hati dan menjadi keutamaan saya di setiap masa.

“Setiap kali saya berkunjung ke sana, nama Malaysia sentiasa meniti di bibir umat Islam, membuktikan besarnya peranan dan sumbangan Malaysia kepada rakyat Palestin.

“Sebagai sebuah gerakan Islam, ISMA sentiasa berusaha mengambil tanggungjawab memberikan kesedaran kepada umat Islam di Malaysia tentang konflik dan penindasan umat Islam di seantero dunia,” kata Ustaz Abdullah Zaik dalam kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, Ustaz Abdullah Zaik menaruh harapan supaya umat Islam di negara ini sentiasa bersatu hati dan terus menjadi contoh kepada dunia Islam dalam memberi sokongan dan bantuan kepada isu-isu umat Islam di seluruh dunia khususnya di Palestin.

Pertemuan itu turut disertai oleh Setiausaha Agung Global Coalition for Quds and Palestine (GCQP), Mounir Saeid, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Dr Baderedin Seyam dan wakil-wakil dari ibu pejabat PCOM di Malaysia.

Hadir sama Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat dan Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button