Berita UtamaDunia

Normalisasi Arab Saudi-Israel semakin ‘hampir’

Keputusan diambil susulan langkah sama dari negara Teluk lain

RIYADH, 5 Rabiulawal 1445H, Khamis – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS) memaklumkan negaranya semakin hampir untuk menormalkan hubungan dengan Israel, berikutan langkah sama daripada negara-negara Teluk yang lain.

Keputusan itu turut dibuat di tengah-tengah desakan besar oleh Amerika Syarikat (AS) untuk perjanjian Arab Saudi-Israel.

“Setiap hari, kami semakin hampir,” kata MBS memberitahu penyiar AS Fox News, menurut petikan yang dilihat oleh Reuters mengenai temu bual yang dijadualkan disiarkan malam Rabu.

Temu bual dengan Mohammed Salman dibuat ketika pentadbiran Presiden AS, Joe Biden meneruskan usaha untuk menjalin hubungan bersejarah antara dua kuasa besar serantau – sekutu utama Washington di Timur Tengah.

Rundingan normalisasi adalah pusat rundingan kompleks yang juga termasuk kemungkinan konsesi Israel terhadap rakyat Palestin, serta perbincangan mengenai jaminan keselamatan AS dan bantuan nuklear awam yang Riyadh telah minta.

MBS memberitahu Fox Special Report, bahawa isu Palestin adalah amat penting kepada Riyadh.

“Kita perlu menyelesaikan bahagian itu,” katanya ketika ditanya apa yang diperlukan untuk mendapatkan perjanjian normalisasi.

“Kita perlu lihat ke mana kita pergi. Kami berharap ia akan sampai ke satu tempat, ia akan meringankan kehidupan rakyat Palestin, menjadikan Israel sebagai pemain di Timur Tengah,” katanya.

Pegawai AS secara peribadi telah menggembar-gemburkan potensi manfaat perjanjian mega serantau – yang akan menjadi kemenangan dasar luar apabila Biden berusaha untuk dipilih semula pada November 2024.

MBS juga berkata, jika Iran mendapat senjata nuklear, Arab Saudi ‘perlu mendapatkannya’.

Arab Saudi, bersama-sama dengan Israel, sudah lama menjadi musuh Iran, bagaimanapun hubungannya bertambah baik sejak Riyadh dan Tehran bersetuju untuk memulihkan hubungan diplomatik pada Mac.

Tehran menafikan mencari senjata nuklear, namun menjadi pusat kecurigaan antarabangsa mengenai program nuklearnya selama bertahun-tahun. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button