Berita Utama

68 kenderaan disewa pada warga asing disita

Pemilik warga tempatan sewakan atau jual pada kadar harga tertentu

AMPANG JAYA, 5 Rabiulawal 1445H, Khamis – Sebanyak 68 kenderaan yang dipandu warga asing dipercayai disewa daripada pemilik tempatan telah disita di Jalan Tasik Tambahan, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Erick Jusiang berkata, kebanyakan kenderaan merupakan milik warga tempatan yang disewa kepada warga asing dengan kadar harga tertentu.

“Dalam operasi hari ini, daripada 564 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 280 saman dikeluarkan selain 68 kenderaan disita melibatkan 64 motosikal, dua kereta dan dua lori.

“Kita dapati kebanyakan kenderaan yang dipandu ini disewa atau dijual oleh pemilik tempatan kepada warga asing.

“Sekiranya terdapat kesalahan yang dikesan, pemandu dan pemilik akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan ialah tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, kenderaan tiada perlindungan insurans dan salah guna lesen kenderaan motor

Selain sitaan kenderaan, beliau berkata, seramai 49 pemandu warga asing turut ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) yang dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen (JIM).

Katanya, penahanan 49 warga asing yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun dibuat atas kesalahan tiada dokumen peribadi dan dokumen tamat tempoh.

“Ia membabitkan 19 warga Myanmar, Pakistan (13), Bangladesh (9), India (8) dan seorang warga Indonesia.

“Kesemua yang disyaki akan menjalani tapisan (pengesahan dokumen) sebelum dibawa ke Depot Imigresen Sungai Buloh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button