Berita Utama

Halang warga asing beli beras tempatan takkan selesai masalah

Sediakan kad subsidi supaya pembelian barangan subsidi lebih bersasar

BANGI,5 Rabiulawal 1445H, Khamis – Cadangan supaya pembelian beras tempatan dihadkan hanya kepada rakyat Malaysia sahaja bukan penyelesaian terbaik untuk mengatasi isu kekurangan makanan asasi rakyat di negara ini.

Bahkan, gesaan itu dianggap tidak masuk akal kerana semua individu termasuk warga asing mempunyai hak membeli keperluan asas, kata Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin.

“Cadangan itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan kepada warga asing yang menetap di sini, tetapi ia adalah tindakan jangka pendek dan boleh mencetuskan keadaan yang lebih parah.

“Memang tak boleh larang sebab ini berkaitan makanan. Ia turut mengambil kira barangan subsidi sekarang terjual di pasaran terbuka,” katanya kepada media tempatan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan melarang warga asing membeli beras tempatan bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ketika ini.

Nur Asyikin berkata, mekanisme terbaik dalam menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan ketika ini adalah melalui pemberian kad subsidi.

Katanya, dalam hal demikian sewajarnya, rakyat yang lebih memerlukan seperti kumpulan B40 perlu diutamakan.

“Mungkin penguatkuasaan boleh dibuat melalui pemberian kad subsidi seperti yang sedang dibincangkan sekarang.

“Apabila ada kad subsidi ada, rekod pembelian dan pemberian barangan subsidi ini lebih bersasar,” katanya.

Beliau yakin melalui langkah itu juga secara tidak langsung mampu menanagani isu ketirisan barangan subsidi termasuk beras tempatan yang diseludup negara jiran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button