Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Artikel Khas

Melakar idea pembangunan umat

Percakaran ahli politik petanda nilai hidup amat parah kerosakannya

1. MELIHAT sidang Parlimen yang mulia beberapa hari lepas, rasa terkedu. Di tambah dengan beberapa peristiwa sebelum ini berkenaan gelagat pemimpin politik kita; kerajaan dan pembangkang … membawa kepada satu persoalan yang sukar diungkap. Persoalan tentangnya sahaja sudah sukar untuk diungkap, apatah lagi menyusun kalimat untuk memberikan jawapannya.

2. Malaysia tercinta memerlukan satu penstrukturan semula; bermula dari penyusunan semula falsafah dan sistem nilai, hinggalah kepada dasar-dasar dalaman dan hubungan luar dengan pihak lain.

3. Masyarakat yang boleh terhibur ketawa melihat percakaran ahli politik adalah petanda nilai hidup yang amat parah kerosakannya.

4. Ketidakmampuan pemimpin untuk membangunkan sumber tempatan; hasil bumi dan sumber manusia, menyebabkan negara tidak mampu mandiri, masih bergantung kepada kepakaran dan sumber luar. Dan itu adalah tanda polisi / dasar dalam dan luar yang amat lemah.

5. Lebih memedihkan, masalah ini bukan masalah kita sahaja, bahkan ia adalah masalah negara-negara jiran kita juga. Kita semua terus berada pada percaturan luar yang tidak tahu bilakah akan berakhir.

6. Kita adalah satu rumpun bangsa yang dulunya berdaulat. Penjajahan yang memisahkan menyebabkan kita dan negara jiran memikirkan nasib sendiri. Bahkan akhirnya kita dan negara jiran terjebak dalam persaingan buatan yang berpotensi membawa kepada kehancuran.

7. Pernahkah kita terbayang bahawa rumpun yang luas ini mampu bersatu menjaga sempadan yang luas dari ancaman Barat dan Timur?

Pernahkah kita terfikir bahawa bumi yang subur ini mampu memberikan kemakmuran kepada warganya tanpa bergantung kepada Barat atau Timur?

Sesekali kita perlu kembali kepada khayalan generasi terdahulu yang mahukan rumpun ini hidup di dalam kesatuan hakiki; dengan bahasa dan budaya yang hampir sama.

8. Jika di pentas nasional kita berhadapan dengan cabaran kesatuan, apatah lagi di pentas serantau sudah tentu cabarannya lebih besar.

9. Kita perlu pemimpin yang ada hati budi keperihatinan, matang dan bertanggungjawab. Juga yang ada agenda nasional dan serantau mengatasi agenda peribadi.

Dan kita juga perlu umat yang peka, sensitif dan mempunyai agenda besar dalam hidup. Bukan umat yang sekadar hidup untuk makan minum dan berhibur lalu diperalatkan tanpa sedar untuk agenda orang lain.

Kelakuan-kelakuan jelek pemimpin dan rakyat mesti dinoktahkan.

10. Moga ada sinar baru buat umat ini. Kita mulakanlah walau perlahan dengan langkah yang betul; melakar semula idea membina kekuatan umat dari titik dan asas sendiri yang kukuh.

Ayuh berdiskusi membina simpulan-simpulan kemas dari keserabutan yang berselirat di dalam Wacana Kesatuan Umat Islam Serantau.

Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button