Pembangkang mahu peruntukan? Runding atau teruskan politiking berlebihan
Macam mana nak dapat peruntukan jika hubungan tak baik dengan Kerajaan Persekutuan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 5 Rabiulawal 1445H, Khamis – Peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang tidak terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Meskipun tiada dinyatakan secara khusus pembangkang mesti diberi sejumlah peruntukan, tetapi pemberiannya boleh dilakukan mengikut budi bicara kerajaan.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, setiap kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen sudah terdapat bajet untuk bahagian masing-masing.
“Kerajaan Persekutuan sudah memberikan peruntukan kepada setiap kawasan tetapi bukan melalui Ahli Parlimen. Peruntukan untuk pembangunan diberikan secara terus kepada kawasan tersebut.
“Dan perkara ini sejak merdeka lagi, tiada pembangkang diberi termasuk zaman Tun Dr Mahathir Mohamad semasa 22 tahun beliau memerintah dan lain-lain Perdana Menteri.
“Cuma yang berlaku pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri kerana ada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang yang ketika itu dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Sikap positif Ismail Sabri dalam isu peruntukan wajar dijadikan contoh
Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, melalui MoU itu, kerajaan memberi pakej atau satu bentuk bantuan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang sebagai balasan kerana menyokong kerajaan.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, keadaan tersebut merupakan satu perkara yang berlaku dalam amalan demokrasi di mana-mana negara Komanwel.
“Jika (pembangkang) ada MoU dengan kerajaan, misalnya bantu kerajaan dari segi sokongan di Parlimen untuk kelulusan bajet dan sebagainya, ia boleh dibalas dengan sejumlah peruntukan,” katanya.
Beliau berkata, itulah yang dilakukan Ismail Sabri semasa pentadbirannya dan kerana sikap positif Perdana Menteri kesembilan itu, MoU tersebut berjaya dilaksanakan.
“Ismail Sabri pada masa itu perlukan sebuah kerajaan yang stabil. Maka dengan adanya sokongan Pakatan Harapan (PH) dengan 92 Anggota Parlimen, kerajaan Ismail Sabri menjadi kukuh sehingga undang-undang Anti Lompat Parti dan beberapa undang-undang lain yang memerlukan sokongan dua pertiga pun dapat dijayakan dengan baik sekali.
“Manakala ketika zaman Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, pernah dicadangkan, tetapi dia tidak buat. Hanya pada masa dia nak jatuh, dan UMNO dah tarik sokongan masa itu baru dia offer kepada pembangkang.
“Jadi Anwar Ibrahim tak sokong, Anwar Ibrahim sokong Ismail Sabri melalui MoU. Jadi terlambat oleh Muhyiddin untuk melakukan perkara itu,” katanya.
Politiking berlebihan atau runding demi peruntukan?
Justeru, persefahaman baik yang pernah berlaku sebelum ini antara dua pihak boleh diteruskan oleh pembangkang semasa dengan menerima pelawaan kerajaan untuk melakukan rundingan.
“Jadi bila mahu bajet daripada budi bicara Kerajaan Persekutuan mesti ada satu bentuk perundingan yang betul lah. Ada perbincangan.
“Tapi saya lihat kerajaan dengan pembangkang sekarang ini macam tiada hubungan baik. Kerana politiking yang berlebihan. Merugikan rakyatlah.
“Jadi bila kata bentuk perundingan itu perlu, pembangkang kena baik dengan kerajaanlah. Dia kena mesra kerajaan, mesra bukan bermaksud tidak melakukan semak dan imbang, itu perlu berlaku macam biasa.
“Tetapi kerajaan dan pembangkang kena bekerjasama barulah Kerajaan Persekutuan boleh bagi bantuan,” katanya.
Keadaan itu sama juga seperti hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan, jelas beliau.
Hubungan yang baik antara kedua pihak bukan sahaja membantu memudahkan peruntukan disalurkan, bahkan rakyat sesebuah negeri dapat menikmati kesejahteraan hasil kematangan pemerintah.
“Kalau negeri itu tak baik dengan Persekutuan macam mana nak minta bantuan. Yang geran wajib itu memang Kerajaan Persekutuan wajib bagi. Tapi ada perkara tertentu yang negeri pun perlu bantuan lain misalnya kecairan untuk bayar gaji kakitangan awam.
“Pernah berlaku negeri Perlis dan negeri Kelantan tak cukup kecairan kerajaan negeri. Pinjam dengan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan nak bagi boleh tak bagi pun tak apa. Kecuali geran wajib.
“Macam kawasan Parlimen pun sama. Maksudnya ada yang wajib bagi, tapi untuk Ahli Parlimen itu tak semestinya kerajaan bagi. Dia lebih kepada budi bicara. Itu lah isu dia,” katanya.