Kes Howard Lee tafsir al-Quran diserah ke Bukit Aman
Polis sahkan terima satu laporan setakat ini

BANGI, 6 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Polis Perak menyerahkan siasatan kepada Bukit Aman berhubung Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memandangkan laporan asal mengenainya dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Katanya, setakat ini hanya satu laporan polis diterima berhubung perkara terbabit.
“Di Perak, kita hanya menerima satu laporan berhubung dengannya dan laporan polis itu sudah kita rujuk kepada laporan asal yang dibuat di (Balai Polis) Jalan Tun Razak.
“Kes ini juga disiasat oleh pihak USJT Bukit Aman,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Semalam, media melaporkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap Howard Lee di Balai Polis Manjoi, Ipoh.
Presiden Jabat Perak, Amiruddin Mohd Daud berkata, pihaknya merasakan tindakan Howard Lee sebagai sengaja menghina Islam memandangkan Ahli Parlimen itu bukan muslim namun bertindak menafsirkan ayat di dalam al-Quran yang sekali gus turut menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum).
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri turut menyelar pemimpin DAP itu mentafsir dan memutarbelitkan tafsir ayat 59, surah an-Nisa menerusi satu video yang dimuat naik di dalam akaun media sosial milik ahli Parlimen berkenaan.
Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2023/09/20/melampau-dap-main-politik-guna-ayat-al-quran-serang-pemimpin-parti-lawan/