Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

‘Gelanggang’ PRK Pelangai bermula esok

Bakal calon diberi tempoh sejam untuk kemuka borang pencalonan

BENTONG, 6 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan bermula dengan proses penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, esok.

Bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang sebelum ini mengesahkan tujuh set borang pencalonan dijual setakat 18 September lepas, iaitu masing-masing tiga set dibeli wakil UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dan sebuah pertubuhan.

Barisan Nasional (BN) dan PN masing-masing mengumumkan calon berpengalaman, dengan kedua-dua mereka pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BN mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50, yang merupakan anak jati Felda Chemomoi dalam DUN Pelangai untuk mempertahankan kubu kuat parti itu.

Pada PRU15, Amizar mewakili BN bertanding di DUN Ketari, yang terletak dalam Parlimen Bentong, namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Thomas Su Keong Siong.

PAS sekali lagi menurunkan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Kasim Samat, 63, yang pernah bertanding di DUN Pelangai pada PRU15, namun tewas kepada penyandang DUN itu Datuk Seri Johari Harun.

Turut menyatakan hasrat mencuba nasib pada PRK itu ialah Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, yang menjadi individu terawal ‘berkunjung’ ke pejabat SPR untuk membeli borang pada 29 Ogos lepas.

Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi manakala PH menang lapan kerusi. Kerajaan Pahang terbentuk dengan kerjasama BN dan PH.

PRK Pelangai yang pertama selepas PRU15 di Pahang akan berlangsung pada 7 Oktober ini, susulan kematian Johari yang merupakan penyandang bagi DUN itu dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button