Berita UtamaDunia

Korea Selatan lulus undang-undang baharu lindung hak guru

Tiada lagi tindakan buang kerja automatik jika dituduh dera pelajar

SEOUL, 6 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Korea Selatan meluluskan undang-undang baharu yang melindungi profesion guru sekolah daripada menerima aduan ibu bapa sehingga berisiko dibuang kerja.

Sebelum ini, semua guru di negara itu mengadakan protes selama sembilan minggu menuntut lebih banyak hak, terutama berada di dalam bilik darjah.

Mereka mendakwa sering diganggu oleh ibu bapa yang kadang kala berniat jahat melaporkan anak mereka didera kerana mahu guru terbabit dibuang kerja.

Terdapat ibu bapa yang mengeksploitasi undang-undang kebajikan kanak-kanak yang diluluskan pada 2014 – yang menetapkan guru dituduh mendera pelajar akan digantung secara automatik.

Di bawah undang-undang baharu dikenali Rang Undang-undang Perlindungan Hak Guru itu, golongan pendidik tidak akan dikenakan tindakan buang kerja secara automatik selepas dituduh mendera kanak-kanak.

Tetapi pihak menuduh – ibu bapa perlu menampilkan laporan penderaan, siasatan dan bukti terlebih dahulu.

Malah, sokongan kewangan juga akan disediakan kepada guru yang berdepan tindakan undang-undang, selain guru besar juga diberi hak dan peluang melindungi kakitangan mereka.

Bantahan berkenaan tercetus susulan seorang seorang guru sebuah sekolah rendah bertindak membunuh diri selepas menerima aduan daripada ibu bapa.

Guru berusia 23 tahun itu mendakwa budaya aduan berniat jahat berkenaan menyebabkan dirinya gagal menjalankan tanggungjawab atau mendisiplinkan pelajar mereka.

Sementara itu, Kesatuan Persekutuan Guru Korea Selatan menyambut baik undang-undang baharu dan yakin ia mampu memperluaskan hak guru untuk mengajar serta melindungi pelajar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button