Terengganu tingkatkan keluasan jelapang padi sekali ganda
Kenal pasti kawasan sesuai untuk penanaman padi baharu

BANGI, 6 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Terengganu akan menambah keluasan jelapang padi sehingga 10,000 hektar di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA).
Penambahan kawasan berkenaan menyaksikan peningkatan keluasan sekali ganda iaitu daripada 5,000 hektar kepada 10,000 hektar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, buat masa ini pihaknya telah mengenalpasti beberapa kawasan sesuai untuk penanaman padi.
“Kerajaan negeri bercadang memasukkan 5,000 hektar daripada keseluruhan 7,000 hektar kawasan sawah di luar kawasan jelapang padi dalam projek yang dikenali sebagai Ketara Fasa 2.
“Kita sedang meneliti sawah padi yang berpotensi untuk diperluaskan dengan penanaman padi bagi meningkatkan penghasilan beras,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.
Pada masa sama, beberapa kawasan penanaman padi yang baharu akan dibuka termasuk di Kampung Durian Mentangau di Dungun, Paya Dadong di Kemaman dan Skim Paya Paman di Kuala Nerus.
“Kita telah membina dan menaik taraf semula sistem pengairan di kawasan berkenaan sehingga mampu diusahakan semula dengan penanaman padi.
“Seluas kira-kira 40 hektar sawah dibuka sebuah syarikat swasta dengan mempraktikkan tanaman padi secara organik di Kampung Durian Mentangau,” katanya.