11,000 guru di Nepal mogok, bantah RUU reformasi pendidikan
Tolak kawalan kerajaan tempatan, larangan sertai kumpulan politik

KATHMANDU, 7 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Kira-kira 11,000 guru meneruskan mogok secara besar-besaran untuk hari ketiga di Nepal, sehingga menganggu sesi pembelajaran jutaan pelajar sekolah awam di seluruh negara itu.
Protes itu diadakan sebagai membantah rang undang-undang (RUU) reformasi pendidikan dan menentang cadangan kawalan kerajaan tempatan terhadap sekolah serta larangan guru menyertai kumpulan politik.
Sejak Khamis lalu, ribuan penunjuk perasaan berarak ke arah bangunan Parlimen di Kathmandu.
Polis anti-rusuhan bersenjata bertindak tegas ketika penunjuk perasaan cuba menolak penghadang besi untuk memasuki bangunan Parlimen.
Sementara itu, pelajar dan ibu bapa menggesa demontrasi itu ditamatkan bagi meneruskan pembelajaran yang tertangguh.
Kumpulan guru membantah peruntukan rang undang-undang yang menghalang mereka daripada menyertai gabungan politik.
Guru-guru berkenaan turut membantah rancangan untuk memberikan kawalan kerajaan tempatan terhadap sekolah, sedangkan ia adalah hak eksklusif kepada kerajaan persekutuan.
Perubahan Perlembagaan yang diluluskan pada 2015 telah mengalihkan tadbir urus beberapa institusi awam, seperti sekolah dan hospital kepada pihak berkuasa tempatan.
Namun, sebahagian pakar pendidikan berpandangan pembabitan guru dalam politik hanya akan menjejaskan kualiti pendidikan.- Agensi