Berita UtamaDunia

Pelajar muslim Perancis fail aduan diskrimanasi agama ke PBB

Bantah dasar Majlis Negara larang pemakaian abaya, kimono di sekolah

PARIS, 7 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Pelajar Islam di Perancis yang dihalang memasuki sekolah dan diarah pulang kerana memakai kimono – pakaian tradisi Jepun – memfailkan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana diskriminasi agama ke atasnya.

Remaja berusia 15 tahun yang menetap di bandar Lyon, Perancis itu telah menghantar aduan kepada Ashwini K.P, Pelapor Khas mengenai bentuk kontemporari perkauman, diskriminasi kaum, xenofobia dan sikap yang tidak bertoleransi berkaitan diskriminasi yang dihadapinya atas alasan pegangan agama.

Aduan berkenaan dihantar ke PBB melalui peguamnya, Nabil Boudi.

Terdahulu, pelajar perempuan itu menghantar aduan kepada Pejabat Pendakwa Raya Lyon atas alasan sama iaitu didiskriminasi kerana pegangan agama.

Awal bulan ini, Majlis Negara mengekalkan larangan abaya di Perancis dan mengisytiharkan tindakan itu sah.

Sebelum ini, keputusan Mahkamah dibuat selepas peguam bagi Tindakan Hak Muslim (ADM), Vincent Brengarth memfailkan rayuan pada 31 Ogos lalu dengan Majlis Negara untuk meminta penggantungan larangan abaya, yang didakwa melanggar kebebasan asasi.

Tindakan kontroversi itu mencetuskan tindak balas terhadap kerajaan, yang dikritik sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana menyasarkan umat Islam dengan kenyataan dan dasar.

Ia termasuk serbuan ke atas masjid dan yayasan kebajikan, dan undang-undang ‘anti-separatisme’ yang mengenakan sekatan luas ke atas masyarakat Islam.– Agensi

Pautan berkaitan;

Selepas Abaya, kini Kimono pula dilarang Perancis

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button