
BENTONG, 7 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN, Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.
Perkara berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pelangai Datuk Mohammad Shahid Ismail pada 10.16 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.
Mohammad Shahid memaklumkan Amizar, 50, yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada 9.01 pagi diikuti Kasim, 63, seminit kemudian dan Haslihelmy, 36, pada 9.08 pagi.
Terdahulu, Kassim tiba di pusat penamaan calon diiringi Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Harun.
Manakala Amizar diiringi Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta beberapa kepimpinan lain sebelum memasuki dewan kira-kira jam 9 pagi.
Kemunculan Haslihelmy yang juga Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), kira-kira 9.05 pagi mengejutkan banyak pihak sekali gus mengesahkan desas-desus pertembungan tiga penjuru pada PRK kerusi DUN itu.
Kerusi N36 Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, 17 Ogos lalu.
Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan Kasim (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi.
PRK DUN Pelangai kali ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara BN, PN dan Bebas yang masing-masing turun dengan misi wajib menang.
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini sehingga 11.59 malam pada 6 Oktober dengan pengundian awal pada 3 Oktober.