Tafsir al-Quran ikut logik akal boleh dianggap persenda Allah: Mufti
Howard Lee boleh dikenakan hukuman kerana hina, perlekeh Islam

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 7 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Tindakan mentafsir ayat al-Quran mengikut logik akal dan secara sewenang-wenangnya boleh dianggap mempersendakan Allah SWT.
Bahkan, pentafsiran tanpa pemahaman kepada al-Quran juga adalah perbuatan yang berdosa, kata Mufti Pahang, Datuk Dr Abdul Rahman Osman.
Beliau menegaskan, sesuatu pentafsiran al-Quran tidak boleh mengikut logik akal semata-mata, sebaliknya memerlukan ilmu dan pemahaman yang tinggi terhadap kitab suci berkenaan.
“Kerja mentafsir bukan tugas membebankan, tetapi untuk memahami maksud tersebut memerlukan kefahaman yang jelas dengan merujuk perkara sebenar iaitu kitab asal.
“Ini penting supaya apa yang ditafsirkan adalah tepat dan tidak menyimpang maksudnya.
“Sebab itu seseorang yang mahu membuat tafsiran perlu memahami isi al-Quran terlebih dahulu, kerana untuk mentafsir tidak boleh ikut akal logik semata-mata,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang ‘selamba’ membuat tafsiran sendiri terhadap ayat-ayat al-Quran dan sirah Nabi bagi menyokong justifikasinya demi menyerang lawan politik.
Menerusi satu hantaran video di akaun Facebook rasminya, Howard mendakwa tindakan blok pembangkang yang memperkotak-katikkan kerajaan sekarang telah menghidupkan roh Khawarij yang terbentuk pada akhir abad ketujuh Masihi.
Howard Lee turut menyebut surah An-Nisa ayat ke-59 dan melabel Perikatan Nasional (PN) hanya sekadar ingin meraih undi dengan menggunakan sentimen agama dalam kempen politik mereka, selain banyak kenyataannya yang seolah-olah merendahkan-rendahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Mengulas perkara itu, Dr Abdul Rahman menyifatkan perbuatan Ketua Pemuda DAP berkenaan tidak tepat kerana membuat tafsiran mengikut logik akal semata-mata.
“Ia merupakan bahasa al-Quran yang mempunyai maksud dan pemahaman tersendiri selain makna yang luas.
“Tindakan (Howard) boleh dikenakan hukuman kerana menghina dan memperlekehkan hak orang Islam di negara ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis Perak menyerahkan siasatan terhadap Howard kepada Bukit Aman selepas satu laporan diterima berkait tindakan pemimpin DAP itu.
Siasatan akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memandangkan laporan asal mengenainya dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.