
BANGI, 8 Rabiulawal 1445H, Ahad – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan memanggil bekas Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin bagi membantu siasatan berhubung projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.
“Kita masih lakukan siasatan dan sesiapa saja yang kita (SPRM) rasakan perlu panggil untuk dirakam percakapan, kita akan panggil tidak kira siapa.
“Mungkin kita akan panggil beliau (bekas menteri) tetapi bukan sekarang,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.
Terdahulu, dua individu termasuk seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri ditahan SPRM kerana disyaki meminta rasuah bagi meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.
Mereka ditahan jam 11 malam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya, sebelum Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah Halid membenarkan permohonan menahan reman kedua-dua individu itu selama empat hari.
Susulan itu, Radzi dalam satu kenyataan menafikan terbabit dalam sebarang dakwaan berkaitan projek percetakan buku J-Qaf berkenaan.
“Saya tiada sebarang kaitan dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah sama sekali. Saya tiada sebarang kaitan dengan syarikat OTR One & Only tersebut,” dakwanya.