Berita Utama

Menteri Kabinet tak digalak bercuti luar negara ketika banjir

Perlu persediaan rapi kerana ada tempat sudah dilanda banjir

BANGI, 8 Rabiulawal 1445H, Ahad – Menteri Kabinet yang merancang bercuti di luar negara terutama menjelang musim tengkujuh perlu meneliti semula hasrat mereka itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi membolehkan mereka bersama rakyat jika banjir melanda.

“Semua menteri khususnya mereka yang ada kaitan dengan isu bencana banjir adalah tidak digalakkan bercuti di luar negara terutama ketika musim tengkujuh nanti.

“Itu adalah amalan biasa dalam Kabinet bagi memastikan semua perkara yang berkaitan banjir dapat ditangani dengan baik jika bencana itu melanda negara,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Nancy berkata, persediaan kini harus diperkemaskan berikutan beberapa lokasi di Sabah, Sarawak dan Perak sudah dilanda banjir.

“Sehingga hari ini, seramai 228 penduduk daripada 72 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, 33 mangsa daripada tujuh keluarga di dua PPS di Limbang, Sarawak manakala di Perak 37 mangsa daripada sembilan keluarga.

“Sebab itulah persediaan rapi harus kita laksanakan mulai sekarang berikutan beberapa tempat sudah dilanda banjir,” katanya.

Menyentuh kesan kenaikan harga barang bekalan makanan disediakan kepada mangsa banjir pula, Nancy berkata, setakat ini jenis barang makanan serta kuantiti dikekalkan seperti yang sudah ditetapkan sebelum ini.

“Kita tidak akan mengurangkan kuantiti barang makanan yang akan diagihkan seperti beras serta keperluan lain.

“Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menentukan perkara itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button