Berita Utama

PH-BN tak layak dapat mandat pengundi Pelangai

Sekadar pandai tabur janji tapi gagal jaga kebajikan rakyat

BANGI, 8 Rabiulawal 1445H, Ahad – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) (PH-BN) tidak layak mendapat mandat pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengambil kira senario politik semasa yang menunjukkan PH-BN sekadar pandai menabur janji tetapi gagal menjaga kebajikan rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, PN terbukti mempunyai rekod yang baik dalam membela nasib rakyat.

Beliau berkata, selepas 10 bulan berlalu, masalah kekurangan bekalan telur telah melarat kepada masalah kekurangan bekalan beras tempatan.

“Rakyat hendak makan pun susah. Ini berbeza dengan dasar PN yang mengutamakan rakyat dengan memastikan makanan sentiasa ada di atas meja.

“Selain itu, sekatan hak kebebasan rakyat seperti hak kebebasan bersuara juga semakin menjadi-jadi. Bercakap soal hak Melayu pun disiasat oleh polis. Media yang melapor kritikan terhadap kerajaan pun diugut dan laman sesawang mereka disekat.

“Ahli Parlimen pembangkang yang kini 100 peratus Melayu dan Bumiputera sering kali disiasat oleh polis dan dihadapkan dengan pendakwaan yang karut-marut,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, ia adalah realiti kerajaan PH-BN hari ini.

“Malas bekerja untuk rakyat, tetapi kuat menganiaya parti lawan. Masalah rakyat tidak selesai, sibuk bermain politik kotor,” dakwanya.

Justeru, beliau merayu pengundi di DUN Pelangai supaya mengundi calon PN yang telah terbukti prihatin terhadap nasib rakyat dan mentadbir negara dengan penuh integriti.

“Saya percaya pengundi-pengundi di Pelangai akan membuat pertimbangan yang terbaik dalam memilih parti dan calon yang akan mewakili suara mereka di Dewan Undangan Negeri Pahang dan memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat setempat.

“Dengan mengambil kira perkembangan politik semasa tanah air, Perikatan Nasional adalah pilihan terbaik yang boleh diharapkan untuk membela nasib pengundi-pengundi di Pelangai,” katanya.

PRK Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober depan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button