Berita Utama

Perjuangan UMNO tak tergadai walau bersama DAP

Puad dakwa keserasian kedua-dua parti ancaman kepada PN

BANGI, 9 Rabiulawal 1445H, Isnin – UMNO dan DAP perlu meningkatkan persefahaman kerana keserasian antara dua parti akan membantu kelangsungan kerajaan sehingga cukup penggal.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) menguji keserasian kedua-dua parti itu yang mana PRK Simpang Jeram dan Pulai telah membuka jalan.

PRK Pelangai medan mematangkan lagi keserasian itu, katanya.

“Sebab itu UMNO mesti agresif beri penjelasan kepada jentera, ketua cawangan dan akar umbi mengenai rasional kerjasama UMNO-DAP.

“Perjuangan UMNO tidak tergadai kerana kerjasama UMNO-DAP. UMNO boleh jadi pengimbang dalam Kerajaan Perpaduan untuk jaga kepentingan Melayu dan Islam.

“Apabila Malaysia baik dengan Iran, tidak bermakna Malaysia jadi Syiah. Kerjasama Malaysia-China tidak menjadikan Malaysia negara komunis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, apabila bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad membawa idea Chinese Consultative Council (CCC) dalam PAS, beliau dikecam hebat apabila PAS kalah teruk dalam pilihan raya umum tahun itu.

Bagaimanapun, ia membuka jalan kepada tahalluf siyasi PAS yang akhirnya parti itu bekerjasama dengan DAP di zaman Semangat 46 dan Pakatan Rakyat.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melakukan perkara hampir sama apabila membuat keputusan konsensus menyertai Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya ada DAP.

“Ia membuka jalan persefahaman UMNO-DAP. Anthony Loke lebih terbuka.

“Dia lebih ‘reasonable’ dari pemimpin PN yang ‘histeria’. Keserasian UMNO-DAP ancaman kepada PN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button