Berita Utama

BN mampu pertahan DUN Pelangai

Inisiatif Skim Tanah Rakyat Generasi Baharu Felda bakal tarik sokongan anak muda

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rabiulawal 1445H, Selasa – Walaupun Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dilihat sengit, Barisan Nasional (BN) dijangka mampu mempertahankan kawasan tersebut berdasarkan beberapa faktor.

Antara faktor utamanya adalah kerana ia kubu kuat UMNO-BN sejak penubuhannya dan parti itu tidak pernah kalah di DUN tersebut.

Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menang di kawasan tersebut sebanyak lapan penggal berturut-turut dan banyak menyumbang kemajuan di sana. 

“Walaupun DUN Pelangai terletak di luar bandar namun dari segi infrastruktur, ianya adalah setanding dengan kawasan pinggir bandar.

“Allahyarham Datuk Seri Johari Harun juga telah berkhidmat dengan baik, sekali gus memberi keyakinan kepada pengundi supaya kemajuan yang dirasai sebelum ini diteruskan oleh wakil dari UMNO-BN,” katanya kepada Ismaweb.net.

Untuk rekod, DUN Pelangai mulai dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada Barisan Nasional-UMNO (BN-UMNO).

Allahyarham Johari yang juga anak jati Pelangai berjaya mengekalkan kerusi itu selepas Adnan untuk terus menjadi kubu kuat BN di Pahang.

Mengekalkan momentum itu, Shahbudin berkata, misi dan visi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk kemakmuran rakyat dengan memperkenalkan Skim Tanah Rakyat (STR) untuk Generasi Baharu Felda dijangka bakal memberi nilai tambah kepada BN.

Dalam pada itu, Shahbudin berkata, PRK DUN Pelangai adalah penanda aras kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan campuran yang memerintah di peringkat pusat dan negeri. 

“Momentum kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) telah mula menampakkan hasilnya di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, baru-baru ini.

“Semangat kerjasama tersebut yang telah dapat diterima oleh ahli akar umbi adalah simbol kestabilan politik demi membawa negara terus maju ke hadapan,” katanya.

Keputusan PRK di Johor baru-baru ini menyaksikan PH mengekalkan status quo di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram selepas calon yang dipertaruhkan oleh parti itu menang di kedua-dua kerusi berkenaan dengan majoriti selesa, lapor media tempatan.

Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman, kedua-duanya daripada Amanah, menewaskan saingan masing-masing dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperolehi 48,283 undi dengan 18,641 majoriti dan 13,844 undi dengan 3,514 majoriti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button