Berita UtamaDunia

Lebih 250 perhimpunan di India promosi kebencian, anti-Islam

Sebar teori konspirasi termasuk desakan boikot sosio-ekonomi masyarakat Islam

NEW DELHI, 10 Rabiulawal 1445H, Selasa – Terdapat lebih 250 perhimpunan yang didokumenkan mempromosikan ucapan kebencian terhadap umat Islam di 17 negeri India pada separuh pertama 2023.

Laporan baharu oleh Hindutva Watch menunjukkan secara purata lebih daripada satu peristiwa sedemikian berlaku setiap hari.

Laporan itu bertajuk Laporan Separuh Tahun 2023: Peristiwa Ucapan Kebencian Anti-Muslim di India, diterbitkan pada 24 September – bagi mengenal pasti pelanggaran hak asasi manusia di India. 

Tujuannya adalah untuk mendokumentasikan ucapan kebencian yang dianjurkan kumpulan sayap kanan Hindu yang menyasarkan umat Islam pada separuh pertama 2023.

“Majoriti ucapan kebencian ini menyebarkan teori konspirasi berbahaya yang menyasarkan umat Islam, bersama-sama dengan seruan eksplisit untuk keganasan, seruan senjata, dan tuntutan untuk boikot sosio-ekonomi masyarakat Islam,” katanya.

Laporan ini menyerlahkan corak sentimen anti-Muslim yang semakin meningkat di India mulai 2014 dan seterusnya, yang bertepatan dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) – yang terkenal dengan pandangan nasionalis Hindu – berkuasa. 

Menurut laporan itu, ramai wakil kerajaan terbabit dalam retorik sedemikian.

“Sesetengah daripada pemberi ucapan kebencian termasuk Ketua Menteri, Ahli Parlimen, dan pemimpin kanan dari BJP yang memerintah,” kata Hindutva Watch.

Menurut laporan itu, lonjakan insiden kebencian pada Mac, sejajar dengan perayaan Hindu Ram Navami pada 30 Mac. Keganasan menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut, apabila kedai dan masjid telah diceroboh. 

Sepanjang minggu terakhir bulan Mac, sebelum dan semasa perayaan, 18 perhimpunan ucapan kebencian dilaporkan di seluruh negara. 

Selepas Narendra Modi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri India pada 2014, pelbagai pertubuhan hak asasi manusia telah mencatat peningkatan dalam pelanggaran yang menyasarkan kumpulan minoriti, termasuk Muslim dan Kristian. 

Menurut laporan itu, hampir 80 peratus daripada peristiwa ucapan kebencian berlaku di negeri dan wilayah kesatuan yang diperintah BJP. 

Di Maharashtra, Karnataka, Madhya Pradesh, Rajasthan dan Gujerat berlaku insiden ucapan kebencian yang paling ketara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button