OIC kutuk pencemaran al-Quran di Belanda
Gesa hentikan tindakan provokatif bersifat Islamofobia

AMSTERDAM, 10 Rabiulawal 1445H, Selasa – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk pencemaran al-Quran di Belanda dengan menggesa pihak berkuasa menghentikan tindakan provokatif berbaur Islamofobia.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas pemimpin organisasi pergerakan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (Pegida) di Belanda Edwin Wagensveld, merobek salinan al-Quran di hadapan Kedutaan Negara Anggota OIC di The Hague.
“OIC mengecam semua percubaan untuk merendahkan kesucian al-Mus’haf ash-Sharif (Al-Quran) serta kitab suci, nilai, dan simbol Islam dan agama lain di bawah selindung kebebasan bersuara.
“Ia jelas bertentangan dengan semangat Artikel (19) dan (20) ICCPR (The International Covenant on Civil and Political Rights),” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, OIC juga menyeru pihak berkuasa Belanda untuk mengambil langkah-langkah yang perlu terhadap tindakan provokatif tersebut supaya tidak berulang.
Wagensveld melakukan perbuatan kebencian itu secara terbuka di hadapan kedutaan Turkiye, Pakistan dan Indonesia sambil menghina Islam dan umat Islam.
Dia kemudian melemparkan halaman kitab suci itu ke tanah sambil mengucapkan rasa terima kasih kepada polis Belanda kerana melindunginya semasa tindakan provokasi itu.
Demonstrasi Pegida tidak diharamkan walaupun terdapat pengumuman bahawa ahli kumpulan itu akan membakar al-Quran. – Agensi