PAS akan pertahan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti besar
Terpulang peringkat tertinggi, rayu keputusan mahkamah atau tidak

BANGI, 10 Rabiulawal 1445H, Selasa – Tidak mustahil PAS mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti besar sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekiranya parti ambil keputusan untuk tidak merayu keputusan mahkamah bagi menjimatkan masa, sudah tentu akan berlaku PRK dan wang rakyat terpaksa digunakan untuk mengendalikannya.
“Namun, kita berikrar akan pertahankan Parlimen Kemaman sekali lagi dalam pilihan raya kecil dengan majoriti yang lebih besar insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata demikian susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Selasa menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman daripada PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman.
Menghormati keputusan itu, Ahmad Fadhli berkata, terpulang kepada perbincangan di peringkat tertinggi parti untuk merayu atau tidak.
Pun begitu, Ahmad Fadhli rasa pelik apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan peruntukan kerajaan ketika musim pilihan raya bukan rasuah seperti yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berkempen untuk PRN di Terenganu sebelum ini.
“Sedangkan mahkamah memutuskan hari ini segala macam bentuk bantuan kerajaan negeri ketika kempen pilihan raya umum ialah satu bentuk sogokan yang bertujuan mempengaruhi pengundi.
“Jika berlaku pilihan raya kecil, secara peribadi saya berpandangan calon Barisan Nasional yang paling sesuai ialah Datuk Seri Ahmad Said. Kita berlawan pulak sekali lagi Abang Eid!” katanya.