Pilihan Raya Presiden Mesir 10 Disember
El-Sisi dijangka menang lagi meski negara berdepan krisis ekonomi

KAHERAH, 10 Rabiulawal 1445H, Selasa – Mesir bakal mengadakan pemilihan presiden pada 10 hingga 12 Disember ini yang mana Presiden Abdel Fattah el-Sisi secara meluas dijangka memenangi pemilihan semula walaupun berdepan krisis ekonomi termasuk rekod inflasi dan kekurangan mata wang asing.
Sisi, 68, boleh bertanding untuk penggal ketiga berikutan pindaan perlembagaan pada 2019 yang turut memanjangkan tempoh penggal presiden kepada enam tahun daripada empat, membuka laluan untuknya kekal memegang jawatan itu sehingga sekurang-kurangnya 2030.
Keputusan pilihan raya dijangka diumumkan pada 18 Disember dan sekiranya berlaku pusingan, keputusan akhir hendaklah diumumkan selewat-lewatnya pada 16 Januari, kata pihak berkuasa pilihan raya.
Walaupun Sisi belum mengumumkan pencalonannya secara rasmi, parti pro-kerajaan telah memulakan kempen termasuk papan iklan di sekitar Kaherah yang menyokong pemilihan semula beliau.
Sisi diisytiharkan sebagai pemenang kedua-dua pilihan raya 2014 dan 2018 dengan 97 peratus undi.
Pada 2018, beliau hanya berdepan dengan seorang lawan iaitu penyokong kuat Sisi, selepas pencabar utama ditahan dan calon lain ditarik keluar dengan alasan ugutan.
Sekurang-kurangnya empat calon lain telah menyatakan hasrat untuk bertanding kali ini, yang paling menonjol adalah bekas Ahli Parlimen, Ahmed Eltantawy.
Eltantawy mendakwa, perkhidmatan keselamatan telah menahan beberapa rakannya dan menyekat beliau daripada mengadakan acara pilihan raya.
Pegawai masih belum menjawab dakwaan itu.
Sisi menjadi presiden pada 2014, setahun selepas beliau mengetuai penggulingan Mohamed Morsi yang dipilih secara demokrasi daripada Ikhwanul Muslimin, berikutan bantahan terhadap pemerintahan Morsi.
Penganalisis berkata, Sisi mengekalkan sokongan perkhidmatan keselamatan – yang paling penting tentera – yang menjadi lebih berkuasa dan meluaskan pengaruh ekonominya. – Agensi