Kemaman: PAS teliti perakuan hakim sebelum buat rayuan
Keputusan berdasarkan Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

KOTA BHARU, 11 Rabiulawal 1445H, Rabu – PAS akan meneliti Perakuan Hakim Pilihan Raya sebelum memutuskan untuk membuat rayuan atau tidak berhubung pembatalan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman, baru-baru ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu akan dibuat berdasarkan Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“PAS akan buat keputusan sama ada merayu atau tidak setelah meneliti perakuan hakim Mahkamah Pilihan Raya yang membuat keputusan ini, iaitu berdasarkan Seksyen 37, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Semalam, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15.
Menurut kenyataan kepada media hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis yang membenarkan petisyen pilihan raya oleh calon BN Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Hakim Anselm Charles menerima dakwaan pempetisyen di dalam Petisyen Pilihan Raya bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.
Mahkamah mengarahkan kos RM30,000 untuk dibayar oleh responden kepada pempetisyen.