Berita Utama

Malaysia boleh contohi Jepun hadapi bencana alam

Tingkat siap siaga bagi kurangkan impak jejas mangsa

KUALA LUMPUR, 11 Rabiulawal 1445H, Rabu – Malaysia boleh menjadikan Jepun sebagai contoh dalam menghadapi bencana alam, terutama untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi mengurangkan impak yang menjejaskan mangsa, kata Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ka Siong yang menjadi sebahagian daripada delegasi kunjungan hormat ke atas Pengerusi Jawatankuasa Khas Bencana Dewan Perwakilan Jepun, Tuan Yang Terutama Etoh Taku, menyifatkan ia sebagai pengalaman yang membuka mata.

“Hari ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Dewan Rakyat mengadakan kunjungan hormat ke atas Etoh dan ia merupakan pengalaman yang membuka mata kerana kami dapat mengkaji amalan terbaik Jepun dalam membina semula infrastruktur selepas bencana.

“Kami turut menimba ilmu tentang bagaimana Jepun berhadapan dengan sesuatu krisis dan memulih serta membina semula kemudahan-kemudahan awam yang musnah akibat bencana seperti jalan raya, jambatan dan infrastruktur asas yang lain.

“Terdapat langkah dan amalan yang boleh kita gunakan di negara kita sendiri untuk meningkatkan kesiapsiagaan kita terhadap sebarang kejadian tidak diingini pada masa hadapan dan untuk mengurangkan kesan kepada mereka yang terjejas,” katanya dalam catatan Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Dewan Perwakilan Jepun telah memperuntukkan AS$100 bilion untuk menyediakan dan mengurangkan kerosakan akibat bencana alam bagi tempoh lima tahun.

Rombongan itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Yusuf Abd Wahab dan turut disertai Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button