Masjid di Sweden musnah terbakar disyaki angkara khianat
Bunyi letupan kuat kedengaran sebelum kebakaran berlaku

STOCKHOLM, 11 Rabiulawal 1445H, Rabu – Sebuah masjid musnah dalam kebakaran dipercayai angkara perbuatan khianat – di tengah-tengah peningkatan pelampau dan sentimen anti-Islam – di tenggara Sweden.
Pengarah Komunikasi Masjid Besar di bandar Eskilstuna, Anas Deneche percaya bahawa kebakaran itu dilakukan dengan sengaja.
Ini kerana, beliau mendakwa, ibunya mendengar bunyi kuat sebelum kebakaran berlaku.
“Dia mendengar letupan dan secara tiba-tiba benda mula terbakar,” katanya kepada penyiar awam Sveriges Radio pada Selasa.
Rekod polis menunjukkan masjid itu telah menghadapi ancaman dan mengalami serangan fizikal, kata Deneche, sambil menambah bahawa mereka yakin ini adalah serangan pembakaran.
Polis berkata, siasatan mengenai kejadian itu sedang dijalankan dan pihaknya menyiasat kejadian berkenaan kerana kesan kebakaran yang teruk.
Pasukan penyelamat berkata, masjid itu kini tidak dapat digunakan kerana kerosakan.
“Bangunan utama masjid tidak dapat diselamatkan. Bangunan itu terbakar dari bumbung,” kata pegawai penyelamat Anders Sisler.
Ahli Parlimen Sweden, Mikail Yuksel dalam catatan di X – yang dahulunya dikenali sebagai Twitter – mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu.
“Sekali lagi keganasan menyerang sebuah masjid di Sweden.
“Ini adalah satu lagi serangan kejam terhadap hak asasi manusia, dan terhadap demokrasi dan kebebasan di negara yang secara rasmi dikenali sebagai kuasa besar kemanusiaan,” katanya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa serangan pembakaran di masjid-masjid Sweden.
Serangan sedemikian pada tahun 2014 menyasarkan beberapa bandar, termasuk Eskilstuna.
Di Sweden, di mana lebih 600,000 umat Islam tinggal, insiden mencemarkan al-Quran di hadapan masjid dan kedutaan negara Islam telah berlaku baru-baru ini, mencetuskan kemarahan yang meluas di dunia Islam dan mendorong beberapa ibu negara untuk memanggil diplomat Sweden untuk membuat bantahan rasmi. – Agensi