PBB tegur Perancis larang atlet pakai tudung di Olimpik Paris 2024
Etika pakaian Islam didakwa seolah papar simbol agama, dakwah

GENEVA, 11 Rabiulawal 1445H, Rabu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegur Perancis kerana melarang atlet negara itu memakai tudung pada Sukan Olimpik Paris 2024.
“Tiada sesiapa pun patut menetapkan kepada seorang wanita apa yang perlu dipakai atau tidak dipakainya,” kata jurucakap Pejabat Hak Asasi PBB, Marta Hurtado kepada pemberita di Geneva pada Selasa.
Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera telah mengumumkan larangan itu pada Ahad, ekoran mendakwa bahawa pematuhan etika berpakaian Islam ketika temasya itu seolah memaparkan simbol agama dan ‘berdakwah’.
“Sekatan ke atas ungkapan agama atau kepercayaan seperti pilihan pakaian, hanya boleh diterima dalam keadaan yang benar-benar khusus,” dakwanya sambil berkata membenarkan atlet Islam mematuhi etika berpakaian adalah sama dengan ‘amalan diskriminasi’.
Perancis mengharamkan pemakaian niqab atau purdah pada tahun 2010.
Pada bulan Jun, Majlis Negara negara itu mengekalkan larangan pemakaian hijab ke atas pemain bola sepak wanita.
Manakala bulan lalu, Menteri Pendidikan Perancis berkata, negara itu akan melarang pemakaian abaya di seluruh sekolah negara -pakaian yang ringkas dan longgar yang dipakai oleh ramai wanita di seluruh dunia Islam – dengan alasan melanggar ‘undang-undang sekular’ Perancis.
Di bawah undang-undang Perancis mengenai laïcité (sekularisme), ia juga melarang memakai tudung di bangunan kerajaan, termasuk sekolah.
Pegawai awam seperti guru, bomba atau pegawai polis dilarang memakai tudung ketika mereka bekerja.
Larangan itu biasanya diterajui oleh elit politik dan sayap kanan, walaupun terdapat hujah oleh pihak kiri yang menegaskan bahawa mereka akan menceroboh kebebasan beragama dan kebebasan sivil individu. – Agensi