Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Selangor tampung subsidi beras import hingga akhir tahun

Rakyat boleh beli semula dengan harga RM13 bawah program JER

SHAH ALAM, 11 Rabiulawal 1445H, Rabu – Kerajaan negeri Selangor akan menampung subsidi pembelian beras import melalui Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) sehingga akhir tahun ini bagi memastikan bekalan makanan ruji di negeri itu stabil.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, beras import itu dibeli dengan harga RM17 bagi setiap lima kilogram (5kg), dan dijual semula kepada rakyat dengan harga RM13 di bawah program Jualan Ehsan Rakyat (JER).

“Baru-baru ini kita ada perbincangan dengan BERNAS, ia bawa masuk beras import tapi kita jual ikut harga beras putih tempatan (BPT), maknanya kita tampunglah (beri subsidi). Kita beli dengan harga RM17 setiap 5kg tapi kita jual RM13 kerana itu harga siling untuk BPT.

“Beras import ini kita bungkuskan semula untuk dijual di bawah program JER iaitu di empat cawangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan jualan bergerak lain sejak minggu lepas,” katanya kepada pemberita selepas program Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 bersama agensi peringkat Selangor, di sini hari ini.

Katanya, walaupun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan makanan ruji itu stabil dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi, namun kerajaan negeri bersedia untuk menampung pembelian subsidi dalam tempoh itu bagi memastikan bekalan benar-benar mencukupi.

Mengenai Banci Pertanian 2024 yang akan dilaksanakan di Selangor bermula Julai hingga September tahun hadapan, Izham berkata sebanyak 60,000 responden terlibat membabitkan individu, syarikat, persatuan dan koperasi.

Katanya, banci itu bagi membolehkan kerajaan negeri mendapatkan data terkini dan komprehensif untuk membuat perancangan bagi pembangunan sektor pertanian memandangkan kali terakhir kajian dilaksanakan adalah pada 2005.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button