Tiada perbincangan rombak Kabinet
Fahmi jawab khabar angin perubahan Kabinet selepas PRK Pelangai

PUTRAJAYA, 11 Rabiulawal 1445H, Rabu – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengesahkan tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab khabar angin berhubung potensi perubahan Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini berikutan, timbul desas-desus akan berlakunya rombakan Kabinet dalam pentadbiran Anwar dengan beberapa menteri dijangka digugurkan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memberi tumpuan membincangkan dan mencari penyelesaian kepada isu harga dan bekalan beras.
“Saya difahamkan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengadakan sidang media kemudian untuk mengumumkan butiran beberapa keputusan yang dibuat berhubung isu itu. Sama-sama kita tunggu itu,” katanya.