Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

GST belum sesuai dikembalikan, hanya bebankan rakyat

Ketirisan, rasuah lebih patut diselesai kerana rugi puluhan bilion

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Penganalisis ekonomi melihat cadangan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2024 sebagai perkara yang belum sesuai dilaksanakan. 

Melihat situasi semasa rakyat, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan GST perlu ditangguh sehingga kerajaan menemukan langkah menghapuskan rasuah, ketirisan dan pembaziran.

“Ini bukan waktu yang sesuai untuk kembalikan GST kerana rakyat masih belum pulih sepenuhnya dari segi menampung kos sara hidup.

“Tak guna perkenalkan GST yang boleh beri pendapatan tambahan RM47 bilion, tetapi saban tahun negara kerugian lebih daripada jumlah itu kerana rasuah, ketirisan dan pembaziran,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 2018 yang menyatakan Malaysia mengalami ‘kerugian’ RM47 billion daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) sepanjang tahun lepas disebabkan gejala rasuah.

Beliau berkata, amaun yang hampir sama, yakni nilai sekitar empat peratus daripada KDNK dicatatkan hilang disebabkan rasuah setiap tahun sejak 2013 menurut Transparency International Malaysia.

Sementara itu, Dr Ahmed Razman menegaskan, buat masa sekarang Malaysia perlu mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga kerajaan berjaya menghapuskan masalah utama yang merugikan negara.

“Ya betul, kalau berjaya hapuskan rasuah, ketirisan dan pembaziran, mungkin hasil sedia ada dah cukup untuk tampung segala perbelanjaan,” katanya lagi.

SST diperkenalkan semula pada 1 September 2018 untuk menggantikan Cukai GST yang dimansuhkan. Perundangan untuk SST diwartakan pada 26 Ogos 2018.

Terdapat dua jenis cukai berbeza di bawah SST yang ditadbir melalui perundangan berasingan, iaitu Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).

Sementara itu, beliau berkata, seandainya kerajaan ingin melihat ruang memperkenal cukai baharu, Cukai Keuntungan Modal (CGT) sesuai untuk diteliti dengan lebih lanjut.

Ketika ini, kerajaan hanya mengenakan CGT ke atas keuntungan jualan hartanah yang juga dipanggil Cukai Keuntungan Harta Tanah.

“Kalau nak perkenalkan cukai baharu, mungkin boleh perkenalkan Cukai Atas Keuntungan Modal (Capital Gain Tax) yang telah disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Ini kerana pelaksanaannyaE dijamin tidak akan membebankan rakyat, dan lebih menjurus ke arah mekanisme pengagihan semula kekayaan,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata, pembaharuan fiskal diperlukan bagi memastikan pengurusan kewangan negara lebih berkesan dan mampan.

Justeru, katanya, langkah akan diambil untuk memperluaskan asas cukai, mempelbagaikan sumber cukai serta menambah baik pentadbiran percukaian menerusi penggunaan teknologi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button